KOTA KINABALU, 22 Okt: Walaupun penyakit demensia tiada penawar, intervensi dan pengesanan awal mampu memperlahankan kemerosotan kognitif pesakit.
Menurut Kent Chau, pemilik Comfort Aged Care Centre di Kota Kinabalu, kebanyakan pesakit hanya mendapatkan bantuan apabila penyakit mereka sudah berada di tahap lanjut dan perkara ini berlaku akibat kurangnya kesedaran tentang tanda-tanda awal demensia.
“Demensia sangat sukar kerana kesedaran tentang penyakit ini masih rendah. Kebanyakan keluarga hanya mencari bantuan apabila pesakit sudah di tahap akhir.
“Saya berharap ceramah kesedaran dapat membuka mata masyarakat tentang kepentingan mengesan tanda awal. Walaupun demensia tiada penawar, jika dikesan lebih awal, kemerosotan boleh diperlahankan,” katanya.
Kent, yang juga Presiden Persatuan Sokongan Penyakit Alzheimer Sabah, menjelaskan bahawa penjaga keluarga tidak perlu rasa bersalah jika terpaksa menghantar ahli keluarga yang menghidap demensia ke pusat penjagaan profesional, seperti Comfort Aged Care yang menyediakan penjagaan terbaik dengan adanya staf yang terlatih dan berkemahiran.
“Apabila seseorang menghidap demensia, ia seperti mereka sedang lemas di laut. Anda mungkin mahu menyelamatkan mereka, tetapi anda bukan penyelamat terlatih. Jika tidak mampu lagi menjaga mereka, carilah bantuan profesional,” tambah Kent.
Sementara itu, seorang isteri kepada pesakit demensia yang mendapat penjagaan di Comfort Aged Care Centre, berkongsi bagaimana pusat tersebut telah membantu mereka sekeluarga.
“Kami mengambil masa yang lama untuk mencari tempat yang sesuai. Suami saya, seorang ahli akademik, mengalami kemurungan apabila dia sedar dia kehilangan ingatannya. Bertemu Kent dan Comfort Home adalah satu rahmat bagi kami,” katanya.
Selain itu, Georginia Natasha George, seorang fisioterapis di pusat penjagaan tersebut, turut berkongsi cabaran menjaga pesakit demensia.
“Demensia sangat mencabar kerana perubahan mood pesakit. Kami memerlukan kesabaran yang tinggi untuk meyakinkan mereka tentang kepentingan senaman, walaupun mereka sudah tua,” jelas Georginia.
Walaupun ditawarkan peluang bekerja di pusat pemulihan lain, Georginia memilih untuk kekal di Comfort Aged Care kerana hubungan peribadi yang dibina bersama para pesakit.
“Saya tidak berpeluang menjaga datuk dan nenek saya sendiri, jadi menjaga pesakit di sini membuatkan saya rasa seperti menjaga ahli keluarga saya sendiri,” katanya.
Comfort Aged Care Centre yang ditubuhkan pada tahun 2016, menawarkan pelbagai aktiviti harian untuk merangsang minda dan fizikal pesakit.
Kent turut menyatakan pentingnya menjaga pesakit demensia agar aktif di siang hari untuk memastikan mereka dapat tidur lebih lena pada waktu malam.
Beliau kini terlibat dalam projek anjuran Rotary Club of Bintulu Central (RCBC), yang menumpukan kepada sesi webinar, publisiti, dan program ‘train the trainers’ untuk meningkatkan kesedaran mengenai Alzheimer dan demensia.
Kent turut berharap kerajaan Sabah dapat mengenal pasti bangunan-bangunan terbiar untuk dijadikan pusat penjagaan tambahan bagi menampung keperluan pesakit demensia yang semakin meningkat. – TVS