KUALA LUMPUR, 22 Okt: Ahli Parlimen Hulu Rajang, Datuk Wilson Ugak Kumbong menyeru agar dua projek penting di Sarawak dipercepatkan bagi memastikan kesejahteraan rakyat wilayah itu terjamin.
Beliau merujuk kepada pembinaan Pusat Kanser Sarawak dan usaha menaiktaraf sekolah-sekolah daif di pedalaman yang sangat diperlukan oleh penduduk tempatan.
Wilson Ugak menyambut baik kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak dalam membangunkan Pusat Kanser Sarawak yang dianggarkan berjumlah RM1 bilion dan menegaskan pembinaan pusat kanser itu perlu dipercepatkan bagi membantu pesakit kanser terutamanya di kawasan pedalaman Sarawak yang terpaksa menghadapi cabaran kewangan dan logistik untuk mendapatkan rawatan di Kuala Lumpur.
“Pusat Kanser Sarawak ini sangat diperlukan oleh rakyat khususnya mereka di kawasan pedalaman dan dengan adanya pusat kanser ini, pesakit tidak perlu lagi terbang jauh ke Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan yang pastinya lebih menjimatkan kos dan masa,” katanya ketika ditemui TVS di Parlimen hari ini.
Beliau berharap segala perancangan dan pelaksanaan pembinaan Pusat Kanser Sarawak dapat disegerakan supaya penduduk wilayah itu boleh menikmati kemudahan rawatan kesihatan yang lebih mudah diakses.
Selain itu, beliau turut menggesa supaya peruntukan RM1 bilion yang diumumkan kerajaan untuk menaiktaraf prasarana sekolah daif di Sabah dan Sarawak digunakan dengan efektif khususnya untuk sekolah-sekolah di kawasan luar bandar.
Beliau mendedahkan bahawa di Bahagian Kapit sahaja, sebanyak 48 sekolah telah disenaraikan sebagai sekolah daif yang memerlukan perhatian segera.
“Sekolah yang baik akan memberikan ilmu yang baik kepada anak-anak kita. Apabila mereka belajar dalam persekitaran yang lebih kondusif, minda mereka juga akan berkembang dengan positif,” ujarnya.
Beliau menekankan kepentingan memperbaiki infrastruktur sekolah-sekolah di pedalaman kerana ia memainkan peranan penting dalam memastikan anak-anak luar bandar menerima pendidikan berkualiti.
Penambahbaikan ini juga akan membantu generasi muda mencapai kecemerlangan akademik dan menjadi pemimpin masa depan yang lebih berdaya saing.
Beliau turut percaya bahawa dengan peruntukan yang besar ini, kualiti pendidikan di Sabah dan Sarawak dapat ditingkatkan, memberi peluang yang lebih baik kepada pelajar di kawasan pedalaman untuk menikmati pendidikan yang setanding dengan bandar-bandar besar. – TVS