KUCHING, 22 Okt: Pihak berkuasa tempatan (PBT) di Sarawak disaran agar menubuhkan Majlis Kanak-Kanak di kawasan masing-masing, kata Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.
Menurut Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak itu inisiatif sedemikan akan menjadi platform bagi menyuarakan pendapat serta idea mereka dalam isu pembangunan sosial kanak-kanak di wilayah ini.
“Mereka (kanak-kanak)Â merupakan pewaris dunia dan bakal pemimpin yang mencorakkan kehidupan di masa hadapan.
“Kita perlu menyediakan platform agar mereka dapat terlibat dan menyuarakan pendapat serta idea mereka dalam isu-isu pembangunan urbanisasi.
“Saya pasti anak-anak kita mempunyai banyak idea yang lebih terkini dan segar untuk mewujudkan persekitaran yang selamat, sihat dan lestari,” katanya.
Beliau berucap semasa Penutupan Persidangan Sarawak Urban Forum (SUF) 1.0 di Hikmah Exchange Event Centre (HEEC) di Kuching pada Selasa.
Justeru itu, Dr Abdul Rahman mahu PBT di seluruh wilayah ini memberi perhatian serius berhubung penubuhan Majlis Kanak-Kanak selepas ini.
Persidangan Sarawak Urban Forum (SUF) 1.0 anjuran Dewan Bandaraya Kuching Utara berlangsung tiga hari bermula pada 20 hingga 22 Oktober di Hikmah Exchange Event Centre (HEEC) telah dihadiri lebih 500 peserta.
Persidangan kali ini bertemakan Inklusiviti Sosial Ke Arah Urbanisasi Lestari bagi memberi peluang kepada para peserta untuk berkumpul dan berkongsi pandangan serta idea berkenaan urbanisasi dan kelestarian.
Acara julung kali itu turut disokong oleh Kerajaan Sarawak dan Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan dengan kerjasama daripada Urbanice Malaysia, Asia Foundation dan Affin Bank.
Penyertaan terdiri daripada pegawai-pegawai pelbagai kementerian, jabatan, agensi kerajaan khususnya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Ketua-Ketua Masyarakat, Kejiranan Mesra DBKU, pihak swasta dan para pelajar. -TVS