PUTRAJAYA, 22 Okt: Bunga kebangsaan iaitu bunga raya dipilih sebagai motif utama logo Malaysia untuk Kepengerusian ASEAN 2025.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, bunga raya dipilih kerana ia adalah bunga kebangsaan Malaysia dan juga biasa ditemui di negara – negara ASEAN yang lain.
Bertemakan “Keterangkuman dan kelestarian’’, Mohamad berkata, logo ciptaan Muhamad Khalis Syafiq Mohamad Nasir itu juga turut mencerminkan ciri-ciri dimiliki negara-negara anggota.
“Empat warna iaitu biru, merah, kuning dan putih mewakili warna utama bendera semua negara ASEAN. Lengkungan lima kelopak yang seakan memeluk logo ASEAN itu pula mencerminkan inklusiviti, mengukuhkan visi Malaysia untuk ASEAN yang aman, stabil dan makmur.
“Enam nilai teras Malaysia MADANI iaitu, kelestarian, prihatin dan belas kasihan, hormat, inovasi, kemakmuran dan amanah digambarkan melalui enam titik stigma bunga itu.
“Nilai-nilai ini menjadi asas kepada wawasan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN,” katanya.
Malaysia cadang Timor Leste diberi kelonggaran syarat sertai ASEAN
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Logo dan Tema Inspirasi Bunga Raya “Keterangkuman dan Kelestarian bagi Pengerusi ASEAN-Malaysia 2025, yang diadakan di Wisma Putra, di sini, hari ini.
Yang turut hadir Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, mesej yang cuba ditonjolkan adalah keperluan untuk negara anggota ASEAN untuk terus bersama dan tidak terpengaruh dengan usaha yang mahu memecah-belahkan hubungan sesama mereka.
Katanya, Malaysia sebagai pengerusi ASEAN mempunyai tugas utama untuk memastikan kesatuan yang ditubuhkan sejak 67 tahun lalu itu dikekalkan berasaskan prinsip zon bebas, aman dan berkecuali. – TVS