PUTRAJAYA, 22 Okt: Malaysia mencadangkan agar negara- negara ASEAN memberikan kelonggaran dokumentasi kepada Timor Leste bagi membolehkannya mendapatkan keanggotaan penuh dalam pertubuhan itu.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, usaha untuk membolehkan Timor Leste menyertai ASEAN sedang dipercepatkan bagi membolehkan negara itu diterima masuk.
Bagaimanapun jelas beliau segala keputusan perlu dilakukan secara konsensus, selaras dengan prinsip ASEAN
“Dalam sidang kemuncak (yang kita akan anjurkan) salah satu agendanya untuk melihat Timor Leste diterima menjadi ahli ASEAN namun mereka perlu melalui proses dokumentasi yang banyak melibatkan aspek ekonomi.
“Kita minta tonggak ekonomi ASEAN untuk kaji sekiranya boleh melonggarkan keperluan itu kerana bagi saya ada juga negara anggota sedia ada masih belum capai syarat sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Logo dan Tema Inspirasi Bunga Raya “Keterangkuman dan Kelestarian bagi Pengerusi ASEAN-Malaysia 2025, di Wisma Putra, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, sekiranya kelonggaran diberi, Timor Leste akan diberi masa dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun untuk melengkapkan syarat dalam kluster ekonomi yang secara keseluruhannya mempunyai 86 dokumen.
“Namun begitu, cadangan ini belum dibawa ke depan lagi dan ia tidak diletakkan sebagai agenda dalam kepengerusian ASEAN 2025 kerana masih di peringkat mesyuarat pegawai kanan,” jelasnya.
Untuk rekod, ASEAN mempunyai 10 negara anggota dengan satu negara anggota calon dan satu negara pemerhati. – TVS