KUALA LUMPUR, 22 Okt: Kerajaan sedang menilai semula pendekatan dalam membantu golongan miskin tegas dengan penekanan kepada kaedah per kapita bagi menentukan kelayakan bantuan, berbanding kaedah pendapatan kasar sebelum ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah ini bertujuan untuk memberi keadilan yang lebih baik kepada keluarga besar yang berpendapatan rendah.
Sebelum ini jelas beliau, pendapatan keseluruhan sesebuah keluarga menjadi penanda aras utama dalam pemberian bantuan.
“Namun, sistem ini didapati kurang berkesan kerana tidak mengambil kira bilangan ahli isi rumah, yang boleh menyebabkan ketidakadilan bagi keluarga besar yang pendapatan keseluruhannya rendah.
“Sebagai contoh jika pendapatan sesebuah keluarga adalah RM2,000 tetapi terdiri daripada empat ahli, maka pendapatan per kapita hanyalah RM500 seorang.
“Ini sangat berbeza jika dibandingkan dengan keluarga yang mempunyai lapan ahli dan pendapatan keseluruhannya RM2,000, di mana pendapatan per kapita hanya RM250 seorang,” katanya di semasa sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Menurut beliau, pendekatan ini lebih tepat dan menyeluruh dengan mengambil kira tanggungan setiap keluarga.
Beliau turut menegaskan bahawa jumlah bantuan akan terus ditambah selari dengan peningkatan kos sara hidup.
Pada masa sama katanya, kerajaan turut bergantung kepada kerjasama antara kerajaan persekutuan dan negeri untuk menyelesaikan isu ini dengan beberapa peruntukan juga melibatkan dana zakat dan program kebajikan kerajaan negeri.
“Walaupun ada peruntukan kecil dari kerajaan negeri, kita menggabungkan sumber ini dengan zakat dan program kebajikan lain untuk membantu mereka yang memerlukan,” jelasnya. – TVS