KUCHING, 22 Okt: Seorang lelaki berumur 19 tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS) selepas hampir lemas ketika mandi dalam kolam renang di kawasan BDC di sini pada malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Farhan Lee Abdullah berkata, mangsa meninggal dunia pada jam 9.30 malam ketika menerima rawatan di zon merah HUS.
“Seorang lagi rakan mangsa lelaki berusia 32 tahun dapat diselamatkan dan sedang menerima rawatan di zon kuning HUS.
“Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR),“ katanya dalam kenyataan hari ini.
Farhan meminta orang awam untuk tampil menyalurkan maklumat berkenaan kejadian ini dengan menghubungi pegawai penyiasat kes, ASP Simon Renang di talian 016-8547803, Balai Polis Sekama di talian 082-332522 atau balai polis yang berhampiran .
“Orang ramai juga dinasihatkan agar lebih berhati-hati dan mengambil langkah keselamatan semasa menjalankan aktiviti air khasnya semasa di dalam kolam renang,” tegasnya.
Dalam kejadian malam tadi, dua lelaki hampir lemas ketika mandi di kolam renang dan berjaya diselamatkan orang awam dan pihak bomba.
Pihak bomba menerima panggilan berhubung kes itu jam 8 malam dengan menggerakkan 16 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya dan bantuan EMRS Batu Lintang ke lokasi kejadian. – TVS