BERLIN, 22 Okt: Kira-kira dua pertiga rakyat Jerman yang layak mengundi menyokong calon Demokrat, Kamala Harris, dalam pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS), menurut tinjauan oleh institut penyelidikan Ipsos yang diterbitkan pada Isnin, lapor Agensi Berita Jerman.
Hanya 12 peratus menyokong calon Republikan, Donald Trump, dalam pilihan raya yang akan diadakan pada 5 November, manakala 12 peratus lagi tidak menyatakan pilihan.
Terdapat sokongan majoriti untuk Harris dalam kalangan semua parti politik di Jerman, kecuali parti sayap kanan ekstrem, Alternative for Germany, yang 42 peratus pengikutnya menyokong Trump berbanding 31 peratus untuk Harris.
Golongan lelaki Jerman lebih cenderung menyokong Trump, dengan 16 peratus menyatakan sokongan kepadanya berbanding hanya lapan peratus wanita.
Tinjauan Ipsos itu melibatkan 1,000 warga Jerman berusia 18 hingga 75 tahun, yang dijalankan secara dalam talian pada 2 dan 3 Oktober.