SARIKEI, 22 Okt: Seorang anak kapal dilaporkan hilang selepas terjatuh ke dalam sungai di Jeti Getah Taman Susur Jambu di sini.
Mangsa dikenal pasti sebagai Min Wai lin didakwa terjatuh dari atas kapal dan kejadian disedari rakannya kira-kira jam 6.00 pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei, Penolong Penguasa Bomba Narudin Mahmudin berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada jam 9.30 pagi sebelum mengarahkan sepasukan anggota ke lokasi berkenaan.
“Insiden ini disedari dua rakannya yang ternampak mangsa jatuh ke dalam sungai sebelum bergegas memberitahu kejadian itu kepada pengemudi kapal berkenaan.
“Sejurus itu mereka cuba mencari mangsa di sekeliling kapal namun gagal menemuinya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mahmudin berkata, bimbang dengan keselamatan rakan mereka, pengemudi bot itu kemudiannya tampil membuat laporan kejadian berkenaan di Balai Polis Sarikei. – TVS