SUBANG JAYA, 21 Okt: Seorang lelaki warga emas maut apabila kereta yang dipandu hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik di Persiaran Tujuan, Subang Jaya, hari ini.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner (ACP) Wan Azlan Wan Mamat berkata kemalangan pagi tadi turut menyebabkan isteri mangsa mengalami kecederaan selepas tersepit.
“Siasatan awal mendapati kereta yang dinaiki pasangan berusia 76 dan 74 tahun itu turut melanggar besi penghadang di tepi kiri jalan.
“Pemandu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik manakala penumpang yang tersepit telah berjaya dikeluarkan pihak bomba,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Wan Azlan memberitahu, ketika kejadian mangsa dipercayai dalam perjalanan menuju ke USJ 2 dari Shah Alam.
Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat manakala isterinya yang cedera dihantar ke hospital sama untuk rawatan,” ujarnya.
Saksi kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Ngo Su Siao di 0169231558. – TVS.