AMPANG, 21 Okt: Seorang wanita warga emas dan anaknya ditahan polis selepas dipercayai mencederakan pembantu rumah mereka dalam kejadian di Taman Putra Sulaiman di sini pada 13 Oktober lepas.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner (ACP) Mohd Azam Ismail berkata, polis menerima aduan awal daripada mangsa berusia 25 tahun yang berasal dari Indonesia pada pukul 2.45 petang hari kejadian.
Katanya, wanita itu yang telah bekerja selama dua tahun dengan majikannya itu mendakwa dicederakan dengan tukul, pengepit besi dan seterika panas.
“Pengadu mengalami kecederaan pada bahagian tangan dan kiri selain turut cedera pada kedua – dua kakinya.
“Mangsa berjaya keluar rumah majikan dan mendapatkan bantuan orang awam sebelum membuat laporan polis,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Mohd Azam memaklumkan, kedua – dua suspek yang berusia 61 tahun dan 40 tahun ditahan pada pukul 11.30 pagi, sehari selepas laporan dibuat mangsa.
Tambah beliau motif kejadian disebabkan suspek menuduh mangsa pemalas dan tidak berpuas hati dengan hasil kerja pembantu berkenaan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan. -TVS.