TANJUNG MANIS, 21 Okt: Tindakan pantas kru kapal berjaya menyelamatkan sebuah kapal tunda nelayan yang berlabuh di Terminal Jeti Tanjung Manis di sini, terbakar hari ini.
Komander Operasi, Mohd Norarbi Jamain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu jam 2.36 petang dengan menggerakkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Manis ke lokasi kejadian.
“Kita menerima laporan dari Balai Polis Tanjung Manis berlaku kebakaran kapal tunda nelayan di jeti berkenaan.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi didapati kebakaran hanya melibatkan dapur disebabkan aktiviti memasak dalam sebuah kapal yang sedang berlabuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, kebakaran telah dipadamkan oleh kru kapal tunda tersebut dengan menggunakan enam unit alat pemadam api jenis serbuk kering (ABC) dari kapal peronda Sarawak Coast Guard yang berlabuh di jeti yang sama.
“Setelah memastikan api telah padam sepenuhnya dan mendapatkan maklumat dari pemilik bot, pasukan bomba bertolak balik ke balai,” ujarnya. -TVS