KUCHING, 21 Okt: Kerajaan Sarawak membangunkan sebuah sistem pangkalan data usahawan Sarawak atau lebih dikenali sebagai ENBASE, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) Sarawak berkata, ENBASE bertujuan sebagai ‘one-stop platform’ yang berupaya untuk menjana analisis dan laporan untuk kerajaan negeri membuat perancangan dan penelitian holistik berdasarkan keperluan sebenar ekosistem keusahawanan di Sarawak.
“Menerusi ENBASE, kerajaan juga akan dapat memastikan program khusus seperti bantuan kewangan, pembangunan kapasiti dan promosi produk sampai kepada golongan sasar yang tepat, termasuklah golongan di luar bandar.
“Jadi, kita juga menekankan kepentingan usahawan Bumiputera dalam mengadaptasi amalan terbaik dan teknologi terkini termasuk prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) bagi meningkatkan produktiviti dan daya saing perniagaan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Sarawak Entrepreneur Development Coordination Committee (SEDCC) Bilangan 1 2024 di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, jelas Awang Tengah, dalam mesyuarat tersebut, pihaknya turut membincangkan mengenai langkah-langkah yang terbaik untuk menambah baik produktiviti perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan memanfaatkan sumber yang banyak di Sarawak.
“Kita juga harus menekankan untuk meningkatkan produktiviti ini, khususnya peningkatan dari segi keupayaan tenaga kerja dan operasi, sama ada industri kecil atau sederhana kerana perkara itu amat penting, selain perlu mengadaptasikan teknologi baharu dan sebagainya.
“Selain itu, sebagai contoh, bagaimana kita boleh membantu untuk meningkatkan teknik pemasaran. Secara umumnya, kita juga boleh menyediakan bantuan dari segi premis dan cara memasarkan produk kepada usahawan-usahawan kita,” ujarnya.
Sementara itu, kata Awang Tengah, MINTRED turut bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta beberapa agensi lain yang berkaitan untuk meningkatkan lagi kemudahan bagi projek Program Pembangunan Premis Tamu Desa.
“Insya-Allah, program ini akan diteruskan hingga tahun depan dan ia juga adalah di bawah agenda meningkatkan kemudahan-kemudahan bagi kegunaan para penjaja kita yang ada di tamu-tamu itu untuk Sarawak dan Sabah.
“Melalui kementerian saya sendiri, MINTRED, kita akan terus berusaha untuk melaksanakan di beberapa kawasan anjung usahawan yang mana ada sudah siap, ada yang masih dalam pelaksanaan dan ada yang masih di dalam perancangan dan ini yang kita akan teruskan,” katanya.
Hadir sama Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Dr Malcolm Musen Lamoh, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Dr Ripin Lamat, Penasihat PKS Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED), Dato Sri Mohd Naroden Majais dan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Dato Sri Khairul Dzaimee Daud. – TVS