KUALA LUMPUR, 21 Okt: Sarawak terus memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pelaburan strategik dalam sektor tenaga boleh diperbaharui sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi di wilayah berkenaan.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, ini terbukti apabila Sarawak semakin mendapat perhatian pelabur tempatan dan antarabangsa, khususnya dalam sektor itu dan teknologi digital.
“Baru-baru ini, saya telah mengadakan mesyuarat dengan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, untuk membincangkan peluang pelaburan antara Kerajaan Sarawak dengan Kerajaan Persekutuan.
“Sarawak diakui mempunyai kelebihan dalam tenaga boleh diperbaharui dan pelaburan dalam sektor ini semakin berkembang di sana,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir Majlis Pengumuman Kad Laporan Suku Ketiga MITI di ibu negara hari ini.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata Sarawak juga memiliki kelebihan kompetitif dalam sektor tenaga hijau, antaranya teknologi hidrogen.
Jelasnya lagi, sektor ini menyaksikan pelaburan besar daripada syarikat antarabangsa, termasuk dari Korea Selatan, Jepun, dan juga daripada syarikat mintak dan gas nasional, Petronas.
“Selain sektor tenaga, Sarawak turut berusaha untuk mengembangkan industri penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih dalam bidang aeroangkasa yang dijangka akan menjadikannya sebagai hab penting di Asia Tenggara.
“Pelaburan dalam teknologi digital, termasuk semikonduktor, turut menjadi agenda utama dalam rancangan pembangunan ekonomi Sarawak,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata Sarawak yang telah mencapai status negeri berpendapatan tinggi dan merupakan satu daripada empat negeri di Malaysia yang berada di tahap tersebut.
“Melihat kepada Pendapatan Negara Kasar (PNK) perkapita, Sarawak merupakan salah satu daripada empat negeri di Malaysia yang telah mencapai status pendapatan tinggi,” katanya.
Ini membuktikan bahawa Sarawak berada di landasan yang tepat untuk terus menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, tambahnya. -TVS.