KUCHING, 21 Okt: Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai antara Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) dengan syarikat teknologi terkemuka dan rakan kongsi strategik diyakini mampu memajukan ekonomi digital di wilayah ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SDEC, Dato Sudarnoto Osman, beliau optimis melalui kerjasama ini, pembangunan bakat tempatan dapat diperkasa dengan baik untuk menerajui transformasi digital sekali gus memupuk usaha pemerkasaan komuniti melalui pendigitalan.
“MoU ini merupakan langkah dalam perjalanan Sarawak menjadi pemimpin ekonomi digital. Kerjasama ini mengenai pemerkasaan komuniti melalui pendigitalan. Kami mempersiapsiaga perniagaan tempatan dengan pengetahuan, sokongan serta pembiayaan untuk berkembang maju.
“Oleh itu, Kecerdasan Buatan (AI) memainkan peranan penting dalam mengoptimumkan operasi, memacu inovasi dan mempertingkatkan daya membuat keputusan.
“Kita juga akan memastikan supaya bakat tempatan menerajui transformasi digital ini, ” katanya ketika berucap pada majlis pemeteraian yang diadakan dalam Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2024 di Pusat Konvenysen Borneo Kuching (BCCK).
Tegasnya, kolaborasi melalui pelbagai pihak turut membantu pertumbuhan ekonomi sekali gus meletakkan Sarawak sebagai salah satu negara peneraju revolusi digital di Asia Tenggara mahupun di peringkat global.
Kerjasama erat yang dijalankan ini turut mengukuhkan komitmen Sarawak terhadap transformasi digital dan kelestarian selain memainkan peranan sebagai peneraju ekonomi masa hadapan Asia Tenggara.
Pemeteraian tersebut ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif SDEC, Dato Sudarnoto Osman serta wakil syarikat masing-masing dan turut disaksikan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn.
Sementara itu, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, kerjasama yang dijalinkan ini sebagai merupakan usaha dalam memajukan ekonomi digital Sarawak dengan memperkasakan komuniti melalui inisiatif yang dijalankan.
“MoU ini menandakan pencapaian terbaharu Sarawak dalam usaha memupuk bakat tempatan, menggalakkan inovasi, dan memajukan ekonomi digital. Kerjasama ini bakal meningkatkan usaha pengkomersialan, merangsang pertumbuhan keusahawanan, dan mempromosi teknologi hijau.
“Usaha ini sejajar dengan tema AI untuk Pembangunan Lestari yang diketengahkan di IDECS 2024. Kepelbagaian kerjasama ini akan menyumbang sumber dan sokongan penting kepada pihak universiti, syarikat pemula, usahawan, serta PMKS untuk berjaya dalam era digital, sekaligus memacu pertumbuhan ekonomi, ” ujarnya.
Dalam pada itu, MoU turut menyaksikan kerjasama SDEC dengan syarikat ternama seperti Dynamik Technologies Sdn Bhd, Leave A Nest Malaysia Sdn Bhd, Yayasan Hasanah, Ventura Interactive Sdn Bhd, Sarawak Influencers Council (SIC) dan Borong.
Selaras dengan wawasan Sarawak untuk mencapai ekonomi kitaran yang mampan, kerjasama ini menunjukkan komitmen kerajaan dalam memupuk inovasi teknologi serta menggalakkan pertumbuhan yang berterusan.
Ditubuhkan pada Januari 2018, Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) merupakan sebuah syarikat milik Kerajaan Sarawak yang beroperasi di bawah Kementerian Kewangan dan Ekonomi Baharu bertujuan untuk merevolusikan ekonomi dan industri Sarawak serta merangsang pertumbuhan dan kemajuan sosio-ekonomi. – TVS