SINGAPURA, 21 Okt: Sarawak sedia untuk menjadi pemain penting dalam memajukan kesalinghubungan tenaga serantau melalui Grid Tenaga ASEAN.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, komitmen Sarawak terhadap tenaga boleh diperbaharui dan pertukaran tenaga merentas sempadan memerlukan kerjasama dengan negara jiran seperti Indonesia, Brunei dan Singapura.
“Sarawak komited untuk menyokong peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara.
“Kami mempunyai potensi untuk menjadi ‘Bateri ASEAN’, berkongsi kuasa boleh diperbaharui dengan jiran-jiran di Asia Tenggara melalui Grid Tenaga Borneo dan ASEAN yang saling berhubung,” katanya ketika berucap di Minggu Tenaga Antarabangsa Singapura (SIEW) 2024.
Katanya lagi, Sarawak kini turut meneroka projek bekalan elektrik kepada Singapura menerusi kabel dasar laut yang seterusnya mengukuhkan peranan Sarawak dalam memastikan keselamatan tenaga serantau.
“Rundingan komersial untuk sambungan ini berjalan dengan baik. Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga sedang menjalankan kajian pra-kelayakan untuk sambungan dari Sarawak ke Semenanjung Malaysia.
“Projek-projek ini menandakan pencapaian penting peranan Sarawak dalam Grid Tenaga ASEAN,” tambahnya.
Beliau pada masa sama turut mengetengahkan potensi Sarawak dalam mengurangkan karbon menerusi sistem tenaga serta potensinya mengeksport tenaga rendah karbon di seluruh Asia Tenggara.
“Sarawak, berperanan sebagai pengeluar, pengeksport, dan pengguna tenaga komited untuk mengembangkan peranan, kerjasama serta pelaburan merentas sempadan,” ujarnya. – TVS.