SINGAPURA, 21 Okt: Sarawak meraih pencapaian signifikan dalam peralihan tenaga boleh diperbaharuinya, melepasi sasaran 2024 dengan mencapai 62 peratus daripada campuran tenaga dari sumber boleh diperbaharui.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak berada di landasan tepat untuk mencapai kapasiti elektrik 10 gigawatt (GW) menjelang 2030 dan akan meningkat kepada 15 GW menjelang 2035.
Sebahagian besar kapasiti jelas Abang Johari diperoleh dari sumber boleh diperbaharui.
“Ini mengukuhkan komitmen kita ke arah masa depan yang mampan. Pencapaian tenaga hidro kita membolehkan kita meneroka inovasi baharu, seperti pembangunan ladang solar terapung terbesar di Batang Ai.
“Merangkumi 86 hektar, projek ini akan mengurangkan 52 kilotan karbon emisi setiap tahun, seterusnya mengurangkan jejak karbon,” katanya ketika berucap di Minggu Tenaga Antarabangsa Singapura (SIEW) 2024 di sini hari ini.
Beliau turut menekankan komitmen untuk menjadi hab hidrogen global, dengan pelaburan besar sedang dilakukan dalam pengeluaran hidrogen, elektroliser, dan sel bahan api.
“Sarawak berada di barisan hadapan dalam ekonomi hidrogen, mempamerkan komitmen terhadap inovasi dan visi kita untuk menjadi pemimpin global dalam tenaga bersih,” tambahnya.
Selain itu, Abang Johari turut menekankan penggunaan biojisim di Sarawak, terutamanya dalam memanfaatkan rumput Napier sebagai sumber biojisim boleh diperbaharui.
“Palet rumput Napier dari sebuah kilang di Bintulu (telah) dieksport ke United Kingdom. Ini menunjukkan potensi dalam pasaran tenaga global,” katanya.
Kejayaan ini tambahnya, mendorong Sarawak untuk meneroka peluang yang sama, meletakkan biojisim sebagai pemain utama dalam masa depan tenaga mampan dan memperkuatkan komitmen ke arah penyelesaian boleh diperbaharui. – TVS.