MIRI, 21 Okt: Majlis Bandaraya Miri dengan kerjasama Lions Club Miri Mandarin dan Unity Dance Academy menganjurkan program penanaman 40 pokok tanjung di Jalan Nasturium 1 sebagai usaha menjadikan Miri sebagai bandar lebih hijau serta sihat.
Dirasmikan oleh Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, program tersebut menekankan kepentingan alam sekitar dan peranan komuniti dalam mempromosikan kelestarian.
Dengan tema We Serve, inisiatif tersebut bukan sahaja bertujuan memperindah bandar tetapi menyumbang kepada pengurangan karbon, menggalakkan penjagaan biodiversiti dan meningkatkan kualiti hidup penduduk.
Matlamat utama program adalah untuk memastikan kelestarian jangka panjang Miri dengan meningkatkan ekologi bandar serta memupuk penglibatan komuniti.
Majlis Bandaraya Miri dan Lions Club berharap usaha seperti itu dapat menyemai semangat tanggungjawab dalam kalangan penduduk tempatan untuk menjaga dan menghargai alam sekitar.
Program penanaman pokok dilihat sebagai langkah penting menjadikan Miri sebuah bandar lebih mesra alam sekitar dan lestari dengan penglibatan komuniti sebagai kunci kejayaan jangka panjang.-TVS