JAKARTA, 21 Okt: Presiden baharu Indonesia, Prabowo Subianto membentuk kabinet hari ini di Istana Merdeka di sini.
Beliau membentuk kabinet selepas mengangkat sumpah pada Ahad dan mengumumkan pelantikan 48 menteri atau ketua agensi, 56 timbalan menteri dan lima pegawai setaraf menteri.
Menurut Prabowo, senarai nama yang diumumkan akan menjadi pasukannya dalam membantu melaksanakan amanah daripada rakyat dengan menamakan kabinet Merah Putih bagi merujuk kepada warna bendera kebangsaan.
“Dengan persetujuan semua pemimpin dalam gabungan kami, kami menamakan kabinet ini sebagai Kabinet Merah Putih,” katanya.
Dalam kabinet Prabowo, lebih kurang satu pertiga atau 17 menteri daripada pentadbiran Joko Widodo iaitu Sri Mulyani Indrawati sebagai Menteri Kewangan dan Luhut Binsar Panjaitan sebagai Ketua Majlis Ekonomi Negara.
Kabinet Merah Putih merupakan kabinet dengan jumlah ahli terbesar sepanjang sejarah Indonesia dengan diisi sehingga 109 orang.
Prabowo berharap kabinet tersebut dapat membantu beliau dan naib presiden baharu memimpin Indonesia bagi merealisasikan keseluruhan program kerja yang disusun dan disasarkan kerajaan.
Bukan itu sahaja, Prabowo turut berhasrat meningkatkan pertumbuhan ekonomi kepada lapan peratus dalam tempoh lima tahun pentadbirannya dan menyekat serta menyelesaikan kemiskinan dengan membuka lebih banyak peluang pekerjaan.-TVS