IPOH, 21 Okt: Penduduk di sekitar daerah ini gempar selepas terdengar bunyi letupan disusuli gegaran hari ini.
Insiden sekitar pukul 11.06 pagi itu turut menjadi tanda tanya dalam kalangan penduduk apabila punca kejadian berkenaan tidak diketahui.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, pihaknya sedang melakukan siasatan lebih lanjut berhubung kejadian itu apabila semakan dengan pihak Briged Utara Pasukan Gerakan Am, Ulu Kinta mendapati tiada latihan berkaitan letupan dijalankan hari ini.
“Semakan dengan Pejabat Tanah dan Galian pula mendapati tiada letupan yang dijalankan di kuari sebelum pukul 12 tengah hari.
“Pemeriksaan dengan Jabatan Meteorologi Malaysia mendapati tiada sebarang aktiviti seismik dikesan di daerah Ipoh walaupun terdapat gempa bumi di Halmahera, Indonesia pada pukul 11.24 pagi tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ujar Azizi, pihaknya menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berhubung kejadian itu untuk menghubungi Pusat Kawalan Kontinjen Perak di talian 05-245 1119 atau 05-245 1073.
Kata beliau, orang ramai juga diminta bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian tersebut bagi mengelakkan kegusaran awam. – TVS