DUSSELDORF, 21 Okt: Sebuah restoran piza di Bandar Dusseldorf, Jerman, didapati menghantar piza bersama kokain kepada pelanggannya, kata polis Jerman pada Isnin selepas menahan pengendali restoran berusia 36 tahun itu, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Restoran piza terbabit yang terletak di pusat bandar lama bersejarah Dusseldorf, dilaporkan menawarkan piza istimewa sebagai pilihan No. 40 dalam menunya.
“Itu merupakan antara piza paling laris,” kata pegawai kanan polis Michael Graf von Moltke dalam satu kenyataan.
Ketika pegawai polis membunyikan loceng rumah pengendali berusia 36 tahun itu untuk menahannya pada Khamis lepas, dia dikatakan telah membaling satu bag dadah keluar daripada tingkap.
“Ia jatuh tepat ke dalam sambutan pegawai polis,” tambah Graf von Moltke.
Secara keseluruhan, polis merampas 1.6 kilogram kokain, 400 gram ganja dan €268,000 (US$291,000) dalam bentuk wang tunai.
Dalam siasatan lanjut, pegawai polis menemui tiga pembekal dadah yang disyaki dan 12 lagi suspek lain.
Sebanyak 150 pegawai polis dikerahkan minggu lepas dalam operasi serbuan di seluruh negeri Rhine Utara -Westphalia, yang merangkumi Bandar Dusseldorf.
Polis turut menemukan dua operasi penanaman ganja di bandar berdekatan, Mönchengladbach dan Solingen, serta merampas pisau, wang tunai dan jam tangan mewah. -TVS