PERAI, 21 Okt: Seorang penunggang motosikal maut selepas tersepit di bawah sebuah kereta dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 134.9 Lebuhraya Utara-Selatan dekat sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.40 pagi itu, mangsa, Ang Kien Seong, 24, meninggal dunia di tempat kejadian disyaki akibat kecederaan parah.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Perai, Rohaizal Abdul Aziz berkata, bomba yang menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.44 pagi mendapati kejadian itu membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Viva Elite dan motosikal jenis SYM.
“Kita mendapati penunggang motosikal telah tersepit di bahagian bawah kereta.
“Mangsa telah dikeluarkan menggunakan peralatan khas bomba sebelum disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Ujar beliau, mayat kemudiannya diserahkan kepada polis bagi tindakan selanjutnya. – TVS