Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Dato Sri Fatimah Abdullah mendengar penerangan tentang perkhidmatan serta produk daripada pempamer di ruang pameran Sarawak Urban Forum 1.0 di Kuching pada Isnin. Foto: TVS

Pembangunan holistik seriring PCDS 2030

KUCHING, 21 Oktober: Kerajaan Sarawak komited memastikan pembangunan holistik seriring aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, penganjuran Sarawak Urban Forum (SUF) 1.0 oleh Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dilihat sebagai wadah penting untuk menggalakkan penyertaan masyarakat dalam perancangan tempatan.

Menurutnya, ia sekali gus mewujudkan persekitaran mesra kanak-kanak, belia, warga tua dan orang kelainan upaya (OKU).

“Sarawak Urban Forum 1.0 menyediakan ruang untuk pemegang taruh yang terlibat dalam pembangunan persekitaran bandar berkumpul dan bertukar pandangan dalam membina bandar mampan.

“Persidangan ini amat unik kerana di sinilah kita mempunyai wadah untuk berkongsi amalan nilai baik dan pendekatan inovatif yang berjaya diguna pakai di tempat lain untuk pembangunan bandar yang berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sarawak Urban Forum 1.0 di Kuching hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah.

Abang Johari menjelaskan, aspek inklusiviti amat kritikal untuk memastikan suara, keperluan, kepentingan dan hak warga menjadi keutamaan dalam membangunkan dasar serta program di peringkat kerajaan tempatan.

Tambahnya, ia dapat dilihat berdasarkan pengisian program yang menyaksikan penubuhan tiga majlis merangkumi Majlis Belia, Majlis Kanak-Kanak dan Majlis Warga Emas serta Projek Legasi Stesen Pengurangan, Guna Semula, Kitar Semula (3R) Komuniti Pintar.

Sementara itu, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berharap semua pihak menggunakan forum tersebut sebagai ruang mendepani isu berkaitan urbanisasi untuk kepentingan bersama.

“Sarawak Urban Forum merupakan platform untuk berbincang tentang urbanisasi termasuk masalah yang sering dikaitkan dengan bandar besar termasuk pencemaran alam sekitar termasuk udara, air dan darat.

“Selain itu, kesesakan lalu lintas turut menyumbang kepada pencemaran udara dan pelepasan karbon serta mendepani isu sosial termasuk jenayah, penagihan dadah, vandalisme dan perjudian dalam talian,” ujarnya.

Forum yang bermula hari ini hingga 22 Oktober itu menampilkan 19 pakar dan ahli panel dari Malaysia, Jepun, Brunei dan Indonesia.

Seramai 300 peserta yang terdiri daripada kakitangan pelbagai kementerian, agensi kerajaan dan swasta, pertububuhan bukan kerajaan (NGO), penyelidik, ahli akademik dan pelajar menyertai forum tersebut.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan