SEMATAN, 21 Okt: Mayat lelaki yang lemas selepas mencari siput di sungai Kampung Terusan Jaya di sini, petang semalam, ditemui awal pagi tadi.
Komander Operasi, Francis Kotter berkata, mayat Mohamad Nazratul Kamil,26, dijumpai penduduk kampung pada jam 1.49 pagi lebih kurang dalam jarak satu kilometer daripada tempat kejadian.
“Mayat dibawa ke jeti menggunakan bot bomba dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya pada jam 3 pagi.
“Dengan penemuan mayat itu operasi SAR ditamatkan pada jam 3.25 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam kejadian semalam, mangsa lemas selepas mencari siput di sungai Kampung Terusan Jaya.
Pihak bomba menerima panggilan berhubung kes itu jam 3.50 petang dengan menggerakkan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lundu ke lokasi kejadian.
Mangsa, Mohamad Nazratul dipercayai berenang membawa hasil sungai (siput) dan hilang dibawa arus air pasang.
Kejadian berlaku sekitar jam 2.10 petang ketika mangsa berenang untuk menyeberangi sungai. – TVS