MIRI, 21 Okt: Seorang lelaki warga emas berusia 69 tahun yang cedera selepas kereta dipandu melanggar pokok di depan Borneo Medical Centre, Jalan Miri-Bintulu di sini, semalam, disahkan meninggal dunia.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan di wad kecemasan Hospital Miri pada jam 4.36 petang hari yang sama.
“Kesan kemalangan tersebut menyebabkan mangsa mengalami kecederaan teruk pada bahagian kaki sebelah kanan, cedera pada bahagian perut dan seterusnya dirujuk ke Hospital Miri untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, dalam kejadian jam 2.05 petang semalam, berlaku kemalangan kendiri melibatkan sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi.
“Hasil siasatan pihak polis kereta yang dipandu mangsa datang dari arah Bandaraya Miri telah hilang kawalan lalu terbabas ke sebelah kanan dan telah melanggar sebatang pokok di pembahagi jalan.
“Akibat kemalangan itu, kenderaan mangsa mengalami kerosakan teruk pada bahagian hadapan kenderaan,” ujarnya.
Katanya, satu kertas siasatan dibuka dan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -TVS