MOSCOW, 21 Okt: Naib Presiden Amerika Syarikat (AS) dan calon presiden Demokrat, Kamala Harris berjaya mengumpul US$1 bilion pada suku ketiga tahun ini dalam kempen pilihan rayanya, mencipta rekod kutipan terbesar bagi suku tahunan, lapor Sputnik yang memetik The New York Times pada Isnin.
Kempen Harris dan jawatankuasa parti sekutunya berjaya mengumpul jumlah itu dalam tempoh tiga bulan yang berakhir pada 30 September, termasuk lebih US$359 juta pada bulan September sahaja, berbanding US$160 juta yang dikumpul oleh bekas Presiden AS dan calon presiden Republikan, Donald Trump, pada bulan yang sama, menurut laporan itu.
Tambahan pula, Harris mengumpul dan membelanjakan lebih banyak dana berbanding Trump sejak beliau memasuki perlumbaan, katanya lagi.
Bagaimanapun, Harris dan Trump bersama jawatankuasa parti mereka masing-masing mengumpul lebih sedikit pada September 2024 berbanding Presiden Joe Biden dan Trump pada September 2020 semasa Pilihan Raya Presiden yang lepas, menurut laporan akhbar harian itu.
Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat dijadual berlangsung pada 5 November ini. -TVS