SIMUNJAN, 21 Okt: Dua warga emas maut selepas sebuah pikap yang membawa 10 penumpang termasuk pemandu terbalik di Jalan Kampung Pelaie di sini, petang tadi.
Dalam kejadian itu, identiti mangsa yang maut dikenal pasti Blayau Datu, wanita berusia 83 tahun dan Awang Pupon, lelaki berusia 63 tahun.
Komander Operasi, Nazari Haron berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu jam 2.42 petang dengan menggerakkan lapan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simunjan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian didapati dua mangsa seorang lelaki dan wanita masih tersepit di bawah pikap yang terbalik.
“Dilaporkan sebelum kejadian pikap tersebut membawa 10 penumpang termasuk pemandu, lima orang selamat, tiga orang cedera ringan dan dua orang disahkan meninggal oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dari Klinik Kesihatan Munggu Lalang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, mangsa yang cedera telah dihantar oleh orang awam ke klinik berhampiran.
“Operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit di bawah kenderaan yang terbalik menggunakan peralatan rescue tool sehingga mangsa berjaya dikeluarkan.
“Mangsa pertama (wanita) berjaya dikeluarkan pada jam 5 petang manakala mangsa ked ua (lelaki) berjaya dikeluarkan pada jam 5.05 petang,” ujarnya. – TVS