KUALA LUMPUR, 21 Okt: Pembiayaan sebanyak RM33.17 juta telah diluluskan menerusi program pembiayaan Bank Rakyat Indian Entrepreneur Financing-i (BRIEF-i) sejak Jun lalu bagi menyokong perniagaan usahawan India.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R. Ramanan berkata, program pembiayaan yang memperuntukkan dana keseluruhan berjumlah RM50 juta itu sehingga kini telah memanfaatkan seramai 384 usahawan pelbagai sektor.
Menurutnya, permohonan diluluskan melibatkan usahawan sektor pengangkutan, perkhidmatan, peruncitan, makanan dan minuman serta pelbagai sektor lain.
“Kini ada baki lebih RM6 juta, nasihat saya kepada komuniti India di luar sana agar membuat permohonan secepat mungkin kerana ada tempoh dua bulan sahaja lagi.
“Kita terima maklum balas yang positif dan kerjasama antara Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan Bank Rakyat ini sangat baik dan kita merancang untuk meneruskan pelaksanaan program ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Cek Cura Program Pembiayaan BRIEF-i yang diadakan bersempena dengan sambutan Hari Deepavali di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ramanam berkata, Bank Rakyat akan mempamerkan biodata syarikat yang berjaya dalam permohonan di laman web mereka bagi memastikan tidak timbul isu ketidakpercayaan dalam kalangan masyarakat mengenai pelaksanaan insiatif itu.
Sementara itu, Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak pula berkata, institusi berkenaan sentiasa komited dalam memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat peluang sama rata dalam mengakses kemudahan kewangan.
“Kami sentiasa tampil ke hadapan sebagai salah satu peneraju dalam menyediakan penyelesaian kewangan yang inklusif dan progresif seiring dengan konsep Malaysia Madani,” katanya. -TVS.