BINTULU 21 Okt: Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Hutan Sarawak (JHS) untuk menjayakan inisiatif pemuliharaan alam sekitar melalui Program Meredah Hutan dan Penanaman Pokok di Hutan Similajau.
Menurut kenyataan BPHB, program yang bertujuan melestarikan alam sekitar ini merupakan komitmen pihaknya dalam pembangunanan lestari.
“Program ini merupakan sebahagian daripada Kempen Penghijauan Sarawak yang menyasarkan penanaman 35 juta pokok di seluruh negeri dan menekankan komitmen kami terhadap pembangunan lestari,” kata kenyataan itu.
Menariknya pada program kali ini, terdapat 250 anak pokok ditanam dan ia terdiri daripada pelbagai spesies.
Anak pokok ini terdiri daripada sembilan spesies tempatan termasuk Bintangor Batang Putih, Selangan Batu Pinang dan Merawan Siput Jantan.
Sehubungan itu, program ini menunjukkan komitmen dan tanggungjawab pihak BPHB dan JHS untuk masa depan yang lebih hijau.
Program kali ini menyaksikan penyertaan seramai 131 individu terdiri daripada 93 wakil BPHB dan 38 wakil JHS yang turut bersama menyumbang kepada inisiatif pemuliharaan alam sekitar ini.
Usaha secara bersama ini menunjukkan komitmen kedua-dua pihak untuk melindungi alam sekitar dan memastikan Sarawak ke arah pembangunan hijau pada masa akan datang.
Hadir sama Ketua Pegawai Operasi (COO) Bintulu Port Sdn Bhd, Matshalleh Mohammed Etli dan Ketua Setiausaha Syarikat, Hasmadi Zamhari.-TVS