KUCHING, 21 Okt: Peruntukan tambahan bagi projek ketersambungan infrastruktur jalur lebar talian tetap di sekolah luar bandar serta projek point of precence (POP) dalam Bajet 2025 dapat membantu untuk mencapai objektif pendidikan pendigitalan negara.
Presiden Kesatuan Guru Sarawak, Kullin Djayang berkata, masalah capaian internet adalah antara yang kritikal khasnya di pedalaman Sarawak dan Sabah selama ini.
“Celik internet dan pembelajaran menggunakan sumber teknologi digital adalah salah satu agenda negara agar pelajar mampu bersaing di peringkat global.
“Selain itu ia juga memudahkan para guru untuk menyampaikan segala isi pembelajaran dengan lebih berkesan dan menyeronokkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, dengan peruntukan yang besar ini, STU berharap pihak KPM dapat menetapkan segala aktiviti yang benar benar boleh membantu golongan sasar iaitu golongan miskin dan masyarakat luar bandar serta pedalaman mendapat pendidikan yang terbaik agar jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar dirapatkan.
“Di samping itu kita juga ingin menekankan bahawa beberapa aktiviti pertandingan yang kurang relevan seperti pertandingan bilik buku teks, bilik sumber, asrama, kantin, tandas, lorong ppda dan beberapa yang lain dikurangkan. Cukuplah ia sekadar dapat digunakan dengan selesa dan selamat.
“Ini kerana kita harap agar peruntukan tersebut dapat terus digunakan untuk penyelenggaraan bangunan sekolah yang masih daif seperti kuarters guru, kelas dan asrama agar ia lebih selamat dan selesa digunakan,” ujarnya.
Katanya, secara keseluruhan peruntukan bagi sektor pendidikan tahun ini sejumlah RM 64.1 bilion amat memberansangkan dan berharap kualiti pendidikan negara dan keselesaan para guru juga pelajar sentiasa diutamakan.
STU ingin mengucapkan penghargaan kepada kerajaan Madani atas usaha meningkatkan kadar gaji semua penjawat awam termasuk guru serta bantuan khas kewangan sebanyak RM500.-TVS