LUNDU, 20 Okt: Tentera Darat Malaysia (TDM) berjaya mematahkan aktiviti penyeludupan barang di Sektor Pos Kandaie dalam Op Awas/Keris Parang di kawasan berhampiran ladang sawit PJP Pelita Kandaie 50 meter dari sempadan Malaysia-Indonesia di sini, awal pagi tadi.
Sel Perhubungan Raya Markas 1 Divisyen berkata, semasa melaksanakan rondaan di kawasan tersebut pada jam 3.18 pagi, pasukan rondaan melihat tiga kenderaan jenis SUV sedang membawa muatan yang bertutup di laluan haram.
“Pasukan telah bertindak menahan kenderaan SUV tersebut bagi pemeriksaan dokumen dan barangan yang dibawa. Semasa pemeriksaan sebuah kenderaan jenis SUV Mitshubishi Pajero Sport didapati membawa barangan iaitu rokok berjenama Surya sebanyak 60 karton, LA Mild sebanyak 10 karton, New Brand sebanyak karton dan arang kayu sebanyak 44 kotak.
“Dua kenderaan SUV Mitshubishi Pajero Sport dan Mitshubishi Triton tidak membawa barang dan didapati kosong. Suspek juga memaklumkan sedang dalam perjalanan ke Malaysia melalui jalan haram,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, hasil daripada penahanan dan pemeriksaan terhadap empat Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dalam lingkungan usia 28 hingga 56 tahun tersebut mendapati tiada barang berbahaya dijumpai.
“Anggaran nilai keseluruhan barangan yang diperiksa adalah berjumlah RM 251,360 iaitu melibatkan barangan rampasan tiga buah kenderaan, rokok, kayu arang, wang tunai, telefon bimbit, beg dompet dan beg pakaian.
“Laporan polis dibuat di Balai Polis Lundu untuk tindakan selanjutnya,”ujarnya.
Sehubungan itu, Panglima 1 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Mohamed Fauzi Kamis merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua anggota di bawah naungannya.
“TDM akan terus komited untuk memperketatkan kawalan di persempadanan Malaysia-Indonesia bagi memastikan kedaulatan negara terus terpelihara dari sebarang bentuk pencerobohan PATI, kegiatan penyeludupan mahupun jenayah rentas sempadan,” ujarnya. – TVS