BINTULU, 20 Okt: Seorang remaja lelaki maut dipercayai menjadi mangsa langgar lari selepas motosikal ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan di Batu 7 Jalan Pan Borneo Bintulu-Miri di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Nixon Joshua Ali berkata, dalam kejadian jam 2.30 pagi itu, mangsa berusia 18 tahun maut di lokasi kejadian.
“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati mangsa menunggang motosikal dari arah Bandar Bintulu menuju ke rumah di Batu 17 Jalan Pan Borneo Bintulu-Miri.
“Apabila sampai di lokasi kemalangan yang mana sistem jalan di lokasi kemalangan tersebut adalah dua lorong sehala, motosikal ditunggangnya berlanggar dengan sebuah kenderaan lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun katanya, kenderaan tersebut melarikan diri dari lokasi kemalangan.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Bintulu yang tiba di tempat kejadian.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.
Nixon menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita yang tidak benar kerana dikhuatiri boleh menimbulkan kegusaran kepada masyarakat.
“Pihak PDRM sedang menjalankan siasatan terhadap kemalangan tersebut, sekiranya ada mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian, boleh tampil dan menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Pung Ting Khang, Balai Trafik Bintulu di talian 086-338575 atau Bilik Gerakan IPD Bintulu 086-318304,” jelasnya.– TVS