Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu semasa Majlis Lawatan dan Menyaksikan Pendaratan Ikan Tuna di Bagan Dalam di sini hari ini. Foto TVS

Monsun Timur Laut: Bekalan makanan negara dijangka cukup

BUTTERWORTH, 20 Okt: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan memberi jaminan keterjaminan makanan negara tidak akan terjejas biarpun negara dilanda cuaca buruk ekoran Monsun Timur Laut (MTL) yang mula melanda di beberapa tempat seluruh negara.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pihaknya bagaimanapun turut bersedia dengan sebarang kemungkinan lebih buruk berikutan faktor cuaca tidak mampu dikawal dan dijangka sepenuhnya oleh manusia.

Katanya, kementerian itu telah membuat persiapan rapi sejurus Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan kesemua jentera di bawahnya membuat persiapan lebih awal berikutan MTL tahun ini dijangka lebih buruk.

“Mukadimah awalnya (MTL) agak teruk apabila kejadian hujan lebat yang menyebabkan banjir kilat di Kuala Lumpur baru-baru ini sehingga turut menjejaskan perjalanan Parlimen.

“Jadi persediaan memang ada, InsyaAllah. Cuma mencukupi atau tidak, saya yakin dengan pengalaman lama kita dapat membuat persediaan yang cukup. Jaminan ini kita boleh ikhtiar,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau ditemui selepas Majlis Lawatan dan Menyaksikan Pendaratan Ikan Tuna di Bagan Dalam di sini.

Sementara itu, ujarnya, kejadian cuaca buruk yang menimpa Amerika Syarikat sehingga menyebabkan kerugian berbilion dolar turut dijadikan iktibar bahawa situasi buruk tidak mampu dikawal sepenuhnya biarpun berbekalkan teknologi ramalan cuaca yang canggih.

“Tetapi jaminan 100 peratus untuk dapat atasi itu tidak boleh lah, seperti kita lihat kejadian di AS yang dahsyat,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid dilaporkan berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) diarahkan mempertingkatkan tahap kesiapsiagaan berdepan MTL yang dijangka bermula akhir bulan ini berbanding ramalan awal minggu pertama November.

Beliau dilaporkan berkata, persiapan di pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat dipertingkatkan khususnya dalam mendepani risiko banjir besar di kawasan dikenal pasti.

MTL lazimnya berlaku pada minggu pertama November, tetapi disebabkan perubahan cuaca terdapat kemungkinan bermula lebih awal pada akhir bulan ini.

Hujan lebat kebiasannya dijangka berlaku di bebarap negeri seperti Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, Barat Sarawak dan Pantai Timur Sabah sehingga menyebabkan banjir. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan