KOTA SAMARAHAN, 20 Okt: Banci Pertanian dijalankan semula pada tahun ini selepas kali terakhir 19 tahun lalu iaitu pada tahun 2005.
Pengarah Jabatan Perangkaan Negeri Sarawak, Dayang Rozana Abang Hassan berkata, ia bermula pada 7 Julai 2024 dan berakhir pada 10 Ogos lalu.
Menurutnya, terdapat empat sub sektor yang dinilai iaitu tanaman, perikanan, ternakan dan akuakultur serta perhutanan dan pembalakan.
“Banci Pertanian ini penting sebagai salah satu usaha dalam memberikan data berkaitan keterjaminan makanan yang mana menerusi data ini kita boleh mengetahui sama ada sumber makanan di Malaysia atau Sarawak mencukupi atau tidak
“Kita baru selesai menjalankan operasi (bancian) dan kita masih belum mendapat keputusan yang menyeluruh dan komprehensif.
“Selepas ini, apa-apa sahaja dapatan di dalam Banci Pertanian ini akan dikongsikan kepada kerajaan dan umum untuk melihat sejauh mana keterjaminan makanan di Malaysia,” katanya.
Dayang Rozana berkata demikian selepas ditemui TVS pada akhir Majlis Sambutan Hari Statistik Negara (HSN) 2024 yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan Pinang, Kota Samarahan pada Ahad.
Bertemakan ‘Statistik Nadi Kehidupan’ HSN kali ke 10 tahun ini turut diadakan bersempena Majlis Ulangtahun Jubli Intan ke 75, Jabatan Perangkaan Malaysia.
Hadir sama Residen bahagian Samarahan, Mohamad Irwan Bahari Bujang, Guru Besar SK Pinang, Salbiah Samsudin dan Penghulu Kampung Pinang, Semawi Sulong-TVS