MIRI, 20 Okt: Seorang lelaki warga emas cedera selepas kereta dipandu melanggar pokok di hadapan Borneo Medical Centre, Jalan Miri-Bintulu di sini, hari ini.
Komander operasi Rosnani Malong berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu jam 2.12 petang dengan menggerakkan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri ke lokasi kejadian.
“Kemalangan kendiri melibatkan sebuah kereta perodua Myvi yang melanggar pokok.
“Terdapat seorang mangsa lelaki warga emas berusia 69 tahun masih tersepit dalam kereta,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pihak bomba terus menjalankan operasi mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan khas.
“Mangsa mengalami kecederaan di bahagian kaki dan diberi rawatan awal oleh pegawai Borneo Medical Centre dan dihantar ke Hospital Miri untuk rawatan selanjutnya,” ujarnya.-TVS