KUCHING, 20 Okt: Kelima-lima mangsa insiden perahu karam berjaya ditemui, setelah mangsa terakhir dijumpai sekitar jam 7.09 pagi di baraj berhampiran kawasan perindustrian Bintawa di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Polis (ACP) Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, kesemua mangsa ditemui dalam keadaan baik.
“Kelima-lima mangsa telah dijumpai dalam radius sekitar 500 meter persegi antara satu sama lain. Jarak antara tempat penemuan dengan lokasi kejadian perahu karam itu adalah dalam jarak lebih kurang 2.5 kilometer,” katanya pada sidang media hari ketiga di pusat Kawalan Operasi Bomba bagi SAR perahu karam di Kuching pada Ahad.
Jumaat lalu, lima individu hilang selepas perahu lumba yang dinaiki mereka karam dan tenggelam ketika mangsa dan 11 yang lain sedang menjalani latihan di Sungai Sarawak sempena Regata Sarawak pada November depan.
Kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 3.47 petang tadi mengakibatkan lima mangsa berusia antara 23 hingga 35 tahun dikhuatiri lemas.
Kesemua mangsa dikenal pasti sebagai Mohammad Ikhmal Sama’ail, Majurie Maharuf, Mohd Afiq Isyamudin Asaari, Mohamad Khairul Bidin dan Muhammad Khairul Hisham Kasturi.
Kesemua mayat dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk bedah siasat.-TVS