KUCHING, 20 Okt: Kejohanan Bola Sepak Belia Tertutup Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) 2024 disifatkan sebagai platform mengasah bakat dan kemahiran anak muda di Sarawak sekali gus memberikan peluang bersaing serta mendapatkan pengalaman di peringkat tinggi.
Jurulatih Penjaga Gol Pusat Kecemerlangan Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Mohana Sundram, 69, berkata, dengan pendedahan tepat kepada pemain muda, beliau percaya mutu sukan bola sepak di wilayah ini akan meningkat dan kompetitif pada masa depan.
“Kita di Sarawak mempunyai bakat dan jika kita lihat kepada saiz dan bentuk tubuh badan anak muda di sini sebenarnya agak bagus. Kita cuma perlu gilap bakat mereka sahaja.
“Untuk menggilap bakat pemain-pemain ini, kita mestilah mempunyai jurulatih yang benar-benar komited. Saya percaya, melalui kejohanan seperti ini, pemain muda ini turut didedahkan untuk menjadi seorang pemain bola sepak lebih mahir dan matang,” katanya ketika ditemui TVS di Kompleks Sukan Negeri Sarawak, di sini, hari ini.
Selain itu, Mohana turut berharap program sedemikian dapat memberikan impak positif dan tidak mahu platform anjuran PETRONAS itu disia-siakan pemain muda serta jurulatih tempatan di Sarawak.
Dalam perkembangan sama, platform yang disediakan itu digunakan Yazid Yaman, 43, untuk mendaftarkan tiga anaknya untuk bermain bola sepak pada kejohanan tersebut.
“Harapan saya apabila kejohanan seperti ini dianjurkan, kita mahu anak-anak kekal aktif dalam aktiviti kokurikulum selain turut cemerlang dalam kurikulum.
“Penganjuran program ini amat bagus kerana ia bukan semata-mata untuk kesihatan tetapi juga boleh mengajarkan semangat kepada anak-anak muda supaya tidak putus asa dalam kehidupan dan sentiasa berusaha mencapai yang terbaik,” ujarnya.
Sementara itu, bagi pemain bola sepak kumpulan Datus United JR bawah 16 tahun, Mas Muhd Razif Mas Faisal pula berharap pasukannya yang berasal dari Sri Aman dapat menyerlahkan kekuatan dan kebolehan dalam permainan untuk mendominasi peringkat kumpulan.
“Saya berharap kami ada rezeki untuk menang dan peroleh tiga mata untuk pergi ke peringkat separuh akhir. Kami juga berharap untuk mencapai kemenangan dalam setiap perlawanan dan mendapat ranking tertinggi di peringkat kumpulan,” jelasnya.
Menurutnya, sebagai seorang pemain pertahanan, dia turut berharap dapat melakukan yang terbaik untuk memastikan gawang pasukannya tidak dibolosi pihak lawan.
Untuk rekod, kejohanan tersebut disertai 23 akademi bola sepak dan sekolah dari sekitar Kuching, Samarahan dan Sri Aman yang melibatkan 56 pasukan yang bersaing dalam empat kategori umur meliputi bawah 10, 12, 14 dan 16 tahun. – TVS