SEBUYAU, 20 Okt: Jom Berami di Sebuyau 2024 yang berlangsung sejak Jumaat lepas dan berakhir hari ini mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung serta peniaga tempatan.
Dengan bayaran tapak bazar yang berpatutan iaitu RM150 untuk tiga hari, peniaga turut menyatakan rasa gembira dengan sambutan diterima dalam kalangan masyarakat Sebuyau dan kawasan sekitar.
Peniaga air balang, Nur Allya Natasha Jamali, 24 berkata penganjuran acara seumpama itu mampu meningkatkan ekonomi masyarakat di Sebuyau melalui aktiviti perniagaan.
“Ini acara pertama yang saya sertai di Sebuyau, banyak makanan yang tular dijual di sini dan sambutan pelanggan pun sangat baik.
“Acara seperti ini patut diteruskan kerana ia dapat membantu peniaga kecil menjana pendapatan,” katanya.
Sementara itu salah seorang pengunjung Nur Nahdatul Nadia Rely, 30 berkata, dia bekerja dan menetap di Kuching namun pulang pada hujung minggu untuk melawat kedua ibu bapanya yang tinggal di Simunjan.
Tambahnya, apabila mendapat maklumat mengenai acara tersebut, dia dan suami membawa seluruh keluarga untuk merasai kemeriahan acara yang berlangsung.
“Saya nak melihat suasana (acara) di Sebuyau sebab itulah saya datang bersama-sama keluarga untuk datang ke Pekan Sebuyau ini,” ujarnya.
Selain bazar jualan makanan, pakaian dan barangan, turut diadakan beberapa acara lain seperti Pertandingan Futsal Terbuka PBB, pertandingan memancing Joran Bidek dan pertandingan karaoke.
Hadiah lumayan turut menanti pemenang utama iaitu wang RM 10,000 bagi pertandingan memancing Joran Bidek yang berlangsung pada Ahad.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi hadir menyempurnakan majlis perasmian di Pekan Sebuyau pada petang Sabtu.
Hadir sama Pegawai Daerah Sebuyau, Ayuradiman Bujang dan Pegawai Tadbir Khas Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA), Annuar Daen-TVS