KUCHING, 20 Okt: Usahawan di Sarawak perlu kekal relevan, berdaya saing dan berupaya berkembang di peringkat tempatan serta global dalam mendepani landskap ekonomi yang semakin mencabar.
Menyedari kepentingan itu, Institut Keusahawan Negara Berhad (INSKEN) Sarawak giat melaksanakan program bimbingan dan latihan keusahawanan bagi memperkasa usahawan di wilayah ini.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (MYSED) Sarawak, Datuk Dr. Ripin Lamat berkata, usaha INSKEN Sarawak perlu dipuji kerana ia membuka ruang untuk usahawan dan bakal usahawan menambahbaik serta meningkatkan kemahiran sedia ada untuk memastikan kelestarian perniagaan diceburi.

“Prestasi usahawan INSKEN amat ketara dari segi peningkatannya apabila mereka mencapai tahap yang membanggakan meskipun bermula dari bawah.
“Ini terbukti apabila 10 daripada usahawan ini beralih daripada usahawan berskala mikro kepada skala kecil dan ini yang kita kenali sebagai perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS),” katanya pada Majlis Graduasi Program Bimbingan INSKEN 2024 Edisi Sarawak di Kuching pada Sabtu.
Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, Muhd Firdaus Azharuddin pula berkata, INSKEN sentiasa komited untuk memastikan usahawan dan bakal usahawan berkembang secara holistik.
Tambahnya, graduan INSKEN bukan sahaja bijak dalam mengurus hal berkaitan perniagaan malah proaktif dan kreatif dalam mengatur strategi untuk membawa perniagaan yang dijalankan mereka ke peringkat lebih tinggi.
“Saya rasa antara perbezaan dan kekuatan ketara pada program yang kita jalankan ini adalah kita menggunakan pakar atau usahawan yang berjaya dalam industri itu sendiri untuk membimbing usahawan ini.
“Keduanya, kami mengukur prestasi mereka, meskipun pada peringkat awalnya terdapat rungutan yang mengatakan tanda aras bagi program INSKEN amat sukar untuk dicapai, tapi Alhamdulillah malam ni 75 peratus daripada peserta berjaya mencapai sasaran ditetapkan.
“Ini bermakna mereka boleh melakukannya dan apabila prestasi mereka diukur dari segi jualan mereka setiap bulan, ini merupakan satu pendekatan yang kita ambil sebagai satu anjakan dan dorongan kepada mereka,” ujarnya.
Muhd Firdaus turut berharap peserta yang mengikuti program kelolaan INSKEN menggunakan ilmu dan kemahiran yang diperoleh untuk melangkah lebih jauh dalam bidang perniagaan yang diceburi selain memperluaskan lagi skop perniagaan sedia ada.
Beliau turut yakin usahawan tersebut akan lebih bersemangat untuk memperkasa dan menggembangkan perniagaan mereka dengan pengumuman 12 inisiatif penting untuk golongan usahawan yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Belanjawan 2025, Jumaat lalu.
“Saya berharap usahawan yang ada dan yang telah menjalani program ini untuk meneruskan dan memperbaiki lagi perniagaan mereka dan jika mereka masih memerlukan bimbingan daripada INSKEN, kita sudi membantu mereka,” jelasnya.
Antara kursus serta program latihan yang ditawarkan oleh INSKEN Sarawak termasuklah Program IBBC, INSKEN Start-Up Coaching, Program Bimbingan Pembangunan Produk dan Program Bimbingan Keuntungan Menu.
Seramai 144 peserta menerima sijil tamat latihan Program Bimbingan INSKEN 2024 yang dianjurkan oleh INSKEN Sarawak bersama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia. -TVS