KUCHING, 20 Okt: Program Pink Aerobic Bersempena Bulan Kesedaran Kanser Payudara Sedunia dengan kerjasama DBKU Car Free Morning diharap mampu memupuk tindakan segera oleh wanita terhadap kanser payudara.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Perhubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, wanita perlu mengambil tindakan dengan membuat pemeriksaan awal terutama berkaitan payudara dan kanser serviks.
Menurutnya, kerjasama antara Persatuan Kumpulan Sokongan Pink Ribbon Sarawak dengan dengan pelbagai pihak perlu diteruskan bagi membantu menangani masalah tersebut.
“Kepada wanita di luar sana, ambil tindakan dan membuat pemeriksaan terhadap kesihatan terutama memeriksa payudara dan membuat pemeriksaan kanser serviks kerana ini antara dua kanser yang paling utama yang membunuh wanita.
“Jadi kita mengharapkan dengan adanya kerjasama Persatuan Kumpulan Sokongan Pink Ribbon Sarawak dan DBKU sempena bulan kanser ini, maka lebih ramai lagi wanita di sana sedar pentingnya pengesanan awal kanser ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui media selepas Program Pink Aerobic Bersempena Bulan Kesedaran Kanser Payudara Sedunia Dengan Kerjasama DBKU Car Free Morning di Kuching pada Ahad.
Sementara itu dalam ucapan perasmian program berkenaan, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali menggesa wanita melakukan pemeriksaan awal kanser payudara dan serviks di Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).
Tambahnya, LPPKN di bawah pengerusinya, Dato Sri Rohani Abdul Karim menyasarkan untuk melakukan pemeriksaan terhadap 30,000 wanita tahun ini.-TVS