MIRI, 20 Okt: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut Adam Yii Siew Sang menyerahkan sumbangan berjumlah RM3,000 melalui dana Projek Kecil Luar Bandar (MRP) untuk aktiviti pengakap di Daerah Miri.
Adam Yii yang juga Datuk Bandar Miri berkata, sumbangan tersebut adalah untuk menambah peruntukan awal yang disalurkan sebelum ini.
“Saya ingin mengumumkan dana MRP berjumlah RM3,000 sebagai tanda sokongan. Ini merupakan tambahan RM3,000 dan menjadikan jumlah keseluruhannya RM6,000,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perkhemahan Lencana Usaha sempena Jamboree On The Air dan Jamboree On The Internet (JOTA JOTI) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pujut hari ini.
Sementara itu menurutnya, setiap pelajar perlu mendalami teknologi terkini termasuk kecerdasan buatan (AI) dan satelit.
“Kita perlu mengambil peluang untuk mempelajari pelbagai teknologi komunikasi yang memberikan manfaat kepada kehidupan harian,” ujarnya.-TVS