KUALA LUMPUR, 19 Okt: Seramai tujuh anak Sarawak telah ditawarkan jawatan tetap sebagai jurutera di Malaysia LNG Sdn. Bhd (MLNG) Bintulu iaitu anak syarikat Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS), manakala tujuh lagi ditawarkan ‘internship’ di bawah program Protege-GEES sempena penganjuran Program Lan Berambeh di Kuala Lumpur hari ini.
Bagi Nur Shahira Jamila Roslan, graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia (UNIMAS) yang berasal dari Bintulu menyatakan keterujaannya untuk menyertai PETRONAS sebagai Jurutera Operasi selepas menamatkan program Protege-GEES selama setahun di syarikat tersebut.
Berkongsi cerita mengenai persiapan untuk sesi temu duga, Shahira berkata bahawa beliau membuat persiapan yang sama seperti calon lain dengan meneliti maklumat tentang syarikat dan jawatan yang dipohon.
“Jadi, selepas menerima tawaran untuk menjadi jurutera operasi di MLNG, saya berharap dapat menjadi seorang jurutera yang serba boleh. Bukan sahaja cemerlang dalam kerjaya, tetapi juga berjaya sebagai individu,” katanya ketika ditemui TVS semasa Program Lan Berambeh di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, hari ini.
Sementara itu, Clarissa Sim Song Fern yang juga graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia (UNIMAS) dari Kota Samarahan menekankan pentingnya persiapan yang mencukupi.
Katanya, beliau telah mempraktikkan teknik berlatih di hadapan cermin untuk memperbaiki bahasa tubuh dan cara bertutur.
“Saya percaya bahawa membuat penyelidikan tentang syarikat serta pekerjaan adalah penting, tetapi adalah lebih penting untuk mengenali diri sendiri. Jangan berbohong, jujurlah tentang pencapaian anda dan pengalaman anda dan cara anda mengatasinya juga merupakan kunci yang sangat penting semasa temu duga,” ujarnya.
Selain itu, seorang lagi graduan UNIMAS iaitu Mohammad Aznil Salamat yang menerima tawaran sebagai Jurutera Elektrik berasal dari Asajaya berkata, pengalamannya sebagai pelatih jurutera analitik di syarikat pembinaan membantu beliau dalam sesi temuduga di PETRONAS.
Aznil yang merupakan graduan Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik berkata, beliau juga membuat penyelidikan mengenai operasi MLNG PETRONAS dan konsep kejuruteraan elektrik yang berkaitan seperti penjanaan dan pengedaran kuasa serta amalan keselamatan.
“Saya berharap apabila saya bekerja dalam bidang ini, saya dapat mempelajari perkara-perkara baharu bersama ramai jurutera profesional di luar sana, untuk terus mengembangkan kerjaya saya,” tambahnya.
Dalam pada itu, mereka berharap dapat menjadi jurutera yang cemerlang dan terus menyumbang kepada industri kejuruteraan serta pembangunan diri.
Inisiatif ini sekaligus mencerminkan usaha PETRONAS untuk membentuk bakat muda yang kompeten dan memberikan peluang kerjaya yang cerah kepada graduan universiti tempatan. – TVS