BINTANGOR, 19 Okt: Tiga cedera selepas kereta dinaiki merempuh sebuah lori tangki minyak sawit yang diparkir di bahu jalan Rumah Panjang Janting, Jalan KJD di sini, hari ini.
Komander Operasi, Peter Jinang berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu jam 2.58 petang dengan menggerakkan lima anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian didapati kemalangan melibatkan sebuah kereta Proton Iriz dengan sebuah lori tangki minyak sawit yang diparkir di bahu jalan.
“Kesemua mangsa yang cedera terdiri daripada seorang lelaki berusia 25 tahun, wanita berusia 33 tahun dan kanak-kanak perempuan berusia enam tahun telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan bomba di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, kesemua mangsa diberi rawatan awal oleh Pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum dibawa ke Klinik Kesihatan Bintangor. – TVS