LIMBANG, 19 Okt: Sekolah Kebangsaan (SK) Melayu Pusat Limbang mengharumkan nama zon utara dengan memenangi pingat emas sekali gus bergelar johan kategori Bioteknologi: Internet Pelbagai Benda pada Pertandingan Techlympic Malaysia 2024 di Sibu pada Jumaat.
Guru besarnya, Said Matzin berkata kemenangan itu dibutirkan hasil inisiatif berterusan para guru dan murid-murid sekolah yang mengaplikasikan penggunaan dan pembelajaran sains, teknologi dan inovasi (STI) serta teknologi terkini dalam sesi pembelajaran.
Katanya selain pingat emas, sekolah itu turut membawa pulang pingat gangsa sekali gus mendapat tempat ketiga dalam kategori Bioteknologi: Pencetakan dan Pembangunan 3D (rawatan inklusif).
“Daripada 55 penyertaan dari seluruh Sarawak kita mendapat johan iaitu pingat emas dalam kategori-kategori yang ditetapkan.
“Selain itu kita mendapat pingat gangsa dalam pertandingan sama dan akan mara ke peringkat kebangsaan November kelak di Putrajaya,” katanya kepada pemberita sejurus rombongan tiba di Lapangan Terbang Baharu Limbang hari ini.
Kata Said seramai 23 murid diriingi lima guru sekolah itu diketuai cikgu Husnazilah Rashidi terpilih mengibar cabaran dalam Pertandingan Techlympics pada 18 hingga 19 Oktober lepas.
Kemenangan itu melayakkan sekolah itu untuk membawa nama Sarawak ke peringkat kebangsaan dalam pertandingan sama yang akan diadakan di Putrajaya November depan.
Lebih 718 peserta dari seluruh Sarawak bersaing dalam Pertandingan Malaysia Techlympics 2024 Peringkat Zon Sarawak.
Terdahulu, majlis telah disempurnakan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn di Sibu. – TVS.