MIRI, 19 Okt: Sukan memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi negara, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut Adam Yii Siew Sang.
Beliau berkata, ini kerana industri sukan pada masa sekarang semakin berkembang dan turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.
Menurutnya, Hari Sukan Negara (HSN) merupakan antara usaha yang menampilkan pelbagai aktiviti sukan dan rekreasi bagi menggalakkan penglibatan masyarakat setempat.
“Sukan dapat menggalakkan pertumbuhan ekonomi negara melalui pembangunan industri dengan menggalakkan rakyat terus bersukan melalui pembelian dan penjualan barangan sukan.
“Ia secara tidak langsung dapat memberikan sokongan kepada ekosistem sektor sukan dan rekreasi,” katanya.
Beliau yang juga Datuk Bandar Miri berkata demikian ketika merasmikan HSN Peringkat Bahagian Miri di sini, hari ini.
Adam Yii menjelaskan, bersukan turut menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat dan pengurangan penyakit kronik melalui amalan gaya hidup aktif selain menyatukan rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat.
“HSN mungkin berlangsung sehari dalam setahun namun ia diharap dapat memupuk budaya bersukan dalam kalangan masyarakat,” ujarnya.– TVS