KUALA LUMPUR, 19 Okt: Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberi bayangan akan mengumumkan bantuan kewangan kepada anak Sarawak yang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT).
Premier Sarawak itu berkata, perkara berkenaan akan diperincikan dalam Belanjawan Sarawak 2025 yang akan dibentangkan pada 20 November ini.
Beliau berkata, lebih 25,000 anak Sarawak di seluruh negara dijangka akan menikmati bantuan berkenaan.
“Saya akan umum (pada) bulan baharu, (sekarang) terlalu awal.
“Ini melibatkan jutaan ringgit kerana anak-anak kita (pelajar) berdepan kos sara hidup tinggi.
“(Syaratnya) kad pengenalan mesti ada ‘K’, bermakna anak-anak Sarawak yang belajar di universiti dan kolej, kita beri bantuan untuk beli barangan keperluan asas,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sesi Townhall Lan Berambeh Anak Sarawak 2024, di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC0 di sini hari ini.
Sesi berkenaan dikendalikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni.
Yang turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri dan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
Abang Johari berkata Kerajaan Sarawak juga memutuskan untuk menggantikan baucar buku percuma kepada pemberian baucar komputer riba.
Jelas beliau berdasarkan maklum balas daripada program baucar buku percuma tahun ini, para pelajar lebih memilih untuk mendapatkan baucar komputer riba. -TVS.