SARIKEI, 19 Okt: Bahagian Sarikei berpotensi menjadi tuan rumah kepada acara sukan dengan meningkatkan akses kepada kemudahan serta penambahbaikan fasaliti berkualiti, kata Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh.
Cadangan itu menurut Len sekali gus akan membangunkan bakat anak muda di sini dalam pelbagai sukan di peringkat akar umbi.
Beliau menekankan penambahbaikan kemudahan sukan merupakan komitmen berterusan kerajaan dalam menyokong pembangunan sektor itu selain menggalak penglibatan masyarakat dalam aktiviti yang lebih sihat.
“Kemudahan yang sesuai membolehkan Sarikei menjadi tuan rumah acara sukan bertaraf lebih besar yang boleh meningkatkan imej dan ekonomi tempatan.
“Secara tidak langsung ia dapat membantu atlet mendapatkan latihan yang lebih berkualiti dan meningkatkan prestasi mereka dalam pertandingan,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Hari Sukan Negara di Kompleks Sukan Sarikei hari ini.
Menurutnya, Sarikei sememangnya berpotensi menganjurkan acara sukan yang lebih besar, terutama dengan kerjasama baik pelbagai pihak termasuk persatuan sukan dan komuniti setempat
Malah dengan infrastruktur yang semakin berkembang, seperti kemudahan dan jalan raya yang baik, sarikei boleh menarik lebih ramai peserta dan pengunjung dari dalam dan luar kawasan berkenaan.
Tidak hanya sekadar itu katanya, Bahagian sarikei pernah melahirkan ramai bakat sukan yang berjaya mencipta nama sama ada di peringkat negeri, kebangsaan mahupun antarabangsa.
“Kita mohonlah kepada kerajaan pusat dan kerajaan negeri agar Sarikei menjadi antara pusat penganjuran acara penting sekiranya berlangsung sukan besar seperti SUKMA baru-baru ini,” tambahnya. – TVS