KUALA LUMPUR, 19 Okt: Kejayaan yang dikecapi Sarawak hari ini merupakan hasil perpaduan utuh dalam kalangan rakyat pelbagai etnik di wilayah itu, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Premier Sarawak itu berkata, keharmonian yang terbentuk itu juga telah menjadi contoh kepada negeri-negeri lain di Malaysia.
Tambah Abang Johari, Sarawak mampu melakar lebih banyak kejayaan berdasarkan asas perpaduan kukuh dimiliki.
“Allayarham Pehin Sri Adenan Satem pernah kata tidak mengira kaum sama ada Melayu, Cina, Iban, Bidayuh, Lun Bawang dan lain-lain, apabila di kedai kopi, kita duduk bersama satu meja, tiada beza, ini budaya kita.
“Inilah perpaduan yang ada kepada kita, kalau kita fokus memperjuangkan Sarawak, menaik tarafkan wilayah kita, tidak akan ada halangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam sempena Lan Berambeh Anak Sarawak kali ke-15 di sini, malam ini.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.
Mengulas lanjut, Abang Johari turut menyifatkan kekuatan perpaduan dalam kalangan anak Sarawak juga turut menjadi antara penyumbang kepada kejayaan mendapatkan haknya yang terhakis.
Jelas beliau, anak Sarawak juga membantu setiap perancangan bagi memperkasa ekonomi seperti penubuhan entiti baharu.
“Kita telah mengambil alih Pelabuhan Bintulu yang sekarang ini telah dikuasai kita (Kerajaan Sarawak), terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan memberikannya kepada kita.
“Ini bermakna seluruh pelabuhan di sana berada dalam tangan anak Sarawak. Selepas ini syarikat penerbangan, insya-Allah kita selesaikannya hujung tahun ini, dalam tempoh dua bulan lagi bagi membolehkan kita beroperasi awal tahun depan supaya anak Sarawak dapat ulang alik dari Semenanjung Malaysia.
“Semua ini berlaku kerana perpaduan dan kita berkehendakkan tenaga kerja, untuk itu anak Sarawak yang menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) sama ada dalam dan luar negara digalakkan mengambil disiplin berhubung ekonomi baharu,” ujarnya.
Sekitar 3,000 pelajar Sarawak yang menuntut di beberapa universiti di Semenanjung Malaysia dan rakyat Sarawak hadir memeriahkan majlis malam itu yang dimeriahkan dengan persembahan nyanyian dan kebudayaan oleh artis tempatan. -TVS