KUCHING, 19 Okt: Meskipun pahit untuk diterima namun keluarga kepada lima pekayuh perahu regata karam pada Jumaat, reda terhadap ketentuan kehilangan insan tersayang masing-masing.
Ada antara ahli keluarga mangsa masih terkejut dengan kejadian yang berlaku sekitar jam 4.20 petang semalam.
Menurut Rajuna Saini, bapa mertua kepada salah seorang mangsa, Mohamad Ikmal Sama’ail merupakan menantunya yang sentiasa bersikap ceria dan sering bergurau bersama ahli keluarga yang lain.
Mohammad Ikmal katanya tidak menunjukkan sebarang petanda yang dia akan pergi meninggal keluarga.
Malah sebelum kejadian, menantunya itu yang tinggal berdekatan dan rapat dengannya sempat memperlawa dia dan isterinya untuk makan bersama.
“Tak ada, dia memang macam itu sahaja sebab saya pun takk pandai membezakan.
“Kadang-kadang bawa barang makan pergi rumah saya untuk makan sama, kalau mereka masak pun mereka panggil kami pergi rumahnya sebab rumah kami tak jauh sebelah rumah saja,” katanya.
Bapa saudara Mohd Khairul Hisham Kasturi, Mohd Ridzuan Aban pula mengakui dia sememangnya terkejut apabila mengetahui anak saudaranya itu menyertai lumba perahu untuk Regata Sarawak pada November depan.
Ia kerana menurutnya, Mohd Khairul Hisham yang baharu sahaja melansungkan pertunangannya Ahad lepas seorang yang tidak pandai berenang.
Walaupun sedih dengan kejadian itu dia dan keluarga tetap redha serta cekal memberikan sokongan moral kepada tunangnya yang mesra dengan pangilan Wawa, 22 tahun.
“Pertama kali dia sertai dan mareka baru tiga hari berlatih, hari pertama, kedua, ketiga lalu kemalangan.
“Jadi dia tidak pandai berenang, itulah saya terkejut walaupun dia anak kampung kata orang tapi dia bukan jenis orang yang main ke air,” ujarnya.
Terdahulu, kejadian sekitar jam 4.20 petang semalam Mohamad Khairul Hisham, 23, dan Mohd Ikmal,34, antara lima mangsa yang dilaporkan masih hilang ketika perahu lumba yang digunakan mereka bersama 11 yang lain untuk berlatih regatta karam.
Pencarian mangsa pada hari kedua yang diperluas sehingga ke muara sungai Sarawak namun masih gagal menemui semua mangsa yang terlibat. -TVS