MIRI, 19 Okt: Persiapan bagi Irau Easter 2025 di Long Terawan semakin rancak dengan sokongan padu daripada pemimpin setempat dan Kerajaan Sarawak.
Pada majlis makan malam amal anjuran Persatuan Wanita Long Terawan Mulu, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala menggesa penduduk setempat memastikan acara tersebut berjaya dan berjalan lancar.
“Sebagai tuan rumah Irau Easter 2025, saya harap penduduk Long Terawan berkerjasama untuk memastikan Long Terawan menjadi tuan rumah terbaik dari segi persediaan, sambutan tetamu dan pengelolaan Irau itu nanti.
“Pasukan Long Terawan sentiasa mengekalkan kedudukan sebagai Jaguh Sungai Baram. Harap semangat dan kegigihan sama berterusan dalam persediaan Irau Easter kita tahun depan,” katanya.
Sementara itu menurutnya, beberapa projek pembangunan utama di kawasan Tutoh termasuk pembinaan jalan baharu menghubungkan Tutoh dengan Marudi, Miri, Limbang dan Long Lama akan dimulakan pada tahun 2025.
“Kerja pembinaan jalan ini akan bermula tahun 2025 seperti diumumkan Premier Sarawak (Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg) minggu lepas.
“Projek ini dijangka memberi manfaat besar kepada penduduk setempat dari segi kemudahan perhubungan dan pembangunan ekonomi,” ujarnya.
Pada majlis makan malam amal tersebut, sumbangan berjumlah RM50,000 diterima untuk penganjuran Irau Easter 2025 yang manakala RM30,000 disumbangkan Gerawat manakala RM10,000 masing-masing daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dato Dennis Ngau serta Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Sebastian Ting.-TVS